SELAMAT MENJENGUK & TERIMA KASIH

Isnin, September 12, 2011

sebalik koc T2


Semasa entri ini ditulis, aku sedang menempuh perjalanan yang jauh ke Selatan. Kocakan kereta api Ekspress Senandung Timuran ini membuatkan aku tak lena.  Terus mencapai Laptop untuk berkarya. Dua sahabatku sudah pun jauh lena dibuai mimpi. Mengharapkan perjalanan kali ini berbaloi dan mengagumkan. Seperti pengalaman pengembara melalui bukunya "Kereta api..Menuju Destinasi" karya Radzi Sapiee.

Sejak bermaustatin di Skudai Johor, ini kali kedua aku naik kereta api. Kali pertama dulu membuat aku serik. Kebetulan waktu itu awal Ramadhan. Tiket memang habis. Semua berkejar nak berbuka bersama keluarga. Dengan harapan yang tinggi, aku dan dua sahabatku lompat (naik tanpa tiket). Kami hanya duduk di tepi pintu dan tandas selama 14 jam. Terasa perit tika orang lain jatuh menghempap. Disepak penumpang -penumpang lain. 

Aku cuba juga menulis walau kadang-kala kepala terhantuk-hantuk di katil. Bunyi geseran rel sebati dan memberi ilham. Bila bosan, aku berjalan dari satu koc ke satu koc. Nampaknya ramai yang lena dari berjaga. Aku ke kantin. Satu tempat yang wajib untuk penggemar pengangkutan ini. Walaupun makanan tidaklah menyelerakan. Hanya nasi goreng sejuk dan telur mata. Namun nilai pada suasana gerabak sangat mahal.


Sambil minum, aku berborak dengan dua orang cikgu dari Melaka. Katanya datang ke Machang Kelantan untuk lawatan sambil belajar. Seronoknya 30 orang pelajar tingkatan empat. Walau jerih terpancar tetap bersemangat dengan uniform kuning mereka.Sempat juga aku bertanyakan isu 'Bukit Kepong' pada cikgu sejarah itu. Ustaz muda disebelahnya lebih selesa dengan jawapan 'no komen'.

Sedang asyik aku mengelamun mencari idea, tiba-tiba blackout. Terlintas benakku yang aku ada terbau diesel setengah jam sebelumnya. Rosak barangkali. Kereta api berhenti sebaik tiba di Stesen Kuala Lipis Pahang. Semua penumpang terjun keluar mencari udara segar. Aku terdengar rata-rata penumpang merungut bila tersebarnya kerosakan yang dialami. 

Aku ambil kesempatan untuk minum-minum di kantin stesen itu. Seronok sambil melihat gelagat penumpang. Ada yang kecewa. Ada yang nampak penat. Mata aku juga menerjah dapur kantin disebalik pintu kecil. Terdengar sayup pembancuh air bersuara. "Gula, ais dan susu dah habis". wah sampai macam tu skali. Rezeki mereka. Abang burger bertopi sedang menekan-nekan daging di kuali. disekeliling bangsalnya pelanggan menunggu penuh sabar. 


Ramai yang menganggap kereta api membosankan. Perjalanan yang terlalu lama. Tidak kurang juga yang melontar persepsi bahawa kereta api adalah pengangkutan kelas ketiga dan tidak berdaya saing. Bagi aku kereta api adalah unik. Punya cerita tersendiri. 


Suasana di pintu gerabak memberi satu pengalaman hebat. Bunyi bising itu menjadi satu seni. Teringat pada satu entri (Malaysia Train see by a Young Writer) oleh penulis muda, Asir Husain. Seorang penulis blog berusia 11 tahun ketika itu. Dia cuba mencadangkan pihak KTMB menyediakan 'DVD Player' untuk kelas satu. Hiburan yang berbaloi untuk perjalanan jauh.

Lebih kurang dua jam sepuluh minit kemudian, kami meneruskan perjalanan. Kali ini aku ke katil empuk dan terus menujah kekunci mengakhiri entri ini. Badan dah penat. Baru terasa mengantuk. Jam sudah 6.45 pagi.  Terus solat subuh dan membungkam.


Tiada ulasan:

Catat Ulasan