SELAMAT MENJENGUK & TERIMA KASIH

Isnin, September 12, 2011

sebalik koc T2


Semasa entri ini ditulis, aku sedang menempuh perjalanan yang jauh ke Selatan. Kocakan kereta api Ekspress Senandung Timuran ini membuatkan aku tak lena.  Terus mencapai Laptop untuk berkarya. Dua sahabatku sudah pun jauh lena dibuai mimpi. Mengharapkan perjalanan kali ini berbaloi dan mengagumkan. Seperti pengalaman pengembara melalui bukunya "Kereta api..Menuju Destinasi" karya Radzi Sapiee.

Sejak bermaustatin di Skudai Johor, ini kali kedua aku naik kereta api. Kali pertama dulu membuat aku serik. Kebetulan waktu itu awal Ramadhan. Tiket memang habis. Semua berkejar nak berbuka bersama keluarga. Dengan harapan yang tinggi, aku dan dua sahabatku lompat (naik tanpa tiket). Kami hanya duduk di tepi pintu dan tandas selama 14 jam. Terasa perit tika orang lain jatuh menghempap. Disepak penumpang -penumpang lain. 

Aku cuba juga menulis walau kadang-kala kepala terhantuk-hantuk di katil. Bunyi geseran rel sebati dan memberi ilham. Bila bosan, aku berjalan dari satu koc ke satu koc. Nampaknya ramai yang lena dari berjaga. Aku ke kantin. Satu tempat yang wajib untuk penggemar pengangkutan ini. Walaupun makanan tidaklah menyelerakan. Hanya nasi goreng sejuk dan telur mata. Namun nilai pada suasana gerabak sangat mahal.


Sambil minum, aku berborak dengan dua orang cikgu dari Melaka. Katanya datang ke Machang Kelantan untuk lawatan sambil belajar. Seronoknya 30 orang pelajar tingkatan empat. Walau jerih terpancar tetap bersemangat dengan uniform kuning mereka.Sempat juga aku bertanyakan isu 'Bukit Kepong' pada cikgu sejarah itu. Ustaz muda disebelahnya lebih selesa dengan jawapan 'no komen'.

Sedang asyik aku mengelamun mencari idea, tiba-tiba blackout. Terlintas benakku yang aku ada terbau diesel setengah jam sebelumnya. Rosak barangkali. Kereta api berhenti sebaik tiba di Stesen Kuala Lipis Pahang. Semua penumpang terjun keluar mencari udara segar. Aku terdengar rata-rata penumpang merungut bila tersebarnya kerosakan yang dialami. 

Aku ambil kesempatan untuk minum-minum di kantin stesen itu. Seronok sambil melihat gelagat penumpang. Ada yang kecewa. Ada yang nampak penat. Mata aku juga menerjah dapur kantin disebalik pintu kecil. Terdengar sayup pembancuh air bersuara. "Gula, ais dan susu dah habis". wah sampai macam tu skali. Rezeki mereka. Abang burger bertopi sedang menekan-nekan daging di kuali. disekeliling bangsalnya pelanggan menunggu penuh sabar. 


Ramai yang menganggap kereta api membosankan. Perjalanan yang terlalu lama. Tidak kurang juga yang melontar persepsi bahawa kereta api adalah pengangkutan kelas ketiga dan tidak berdaya saing. Bagi aku kereta api adalah unik. Punya cerita tersendiri. 


Suasana di pintu gerabak memberi satu pengalaman hebat. Bunyi bising itu menjadi satu seni. Teringat pada satu entri (Malaysia Train see by a Young Writer) oleh penulis muda, Asir Husain. Seorang penulis blog berusia 11 tahun ketika itu. Dia cuba mencadangkan pihak KTMB menyediakan 'DVD Player' untuk kelas satu. Hiburan yang berbaloi untuk perjalanan jauh.

Lebih kurang dua jam sepuluh minit kemudian, kami meneruskan perjalanan. Kali ini aku ke katil empuk dan terus menujah kekunci mengakhiri entri ini. Badan dah penat. Baru terasa mengantuk. Jam sudah 6.45 pagi.  Terus solat subuh dan membungkam.


Sabtu, Ogos 20, 2011

Tuhan tolong rantai aku


Tidurku keranaMu. 
Bangkitku keranaMu. 
Malamku keranaMu. 
Siangku keranaMu. 


Dunia hari ini penuh hitam. Bangkitkan aku Tuhan. Aku tak kuat dihentam dunia kelam. Minda berbaur lalai. Hati penuh dendam. Lidah ligat mencaci.

Kulangkah kaki keranaMu Tuhan. Hampar baringku kernaMu Tuhan. Jauhkan persoalan ini. Persoalan yang entah terjawab. Penuhilah ruang kosong hatiku. Secalit terlintas sudah cukup. Ingin sentiasa meniti bibir. Berendam liur jernih.

Jalanku jauh menyimpang. Tubuhku kotor. Hitam. Hati berair busuk. Mimpiku buruk. Jagaku penuh noda. Hina menghadapMu Tuhan. Saat ini aku bersujud padaMu.


Rantai kaki tanganku Tuhan. Rantai hati perasaanku Tuhan. Nafsu keruh tidak terdaya. Ku mendongak ke langit subuh, mencari hadiahMu. Ya Rabbi sekalian alam. Hanya Engkau tempat ku memohon. 



Jumaat, Ogos 19, 2011

Hanya Diam



Melewati sisi akhir Ramadhan, aku mula menghitung.

Berapa harikah aku tidak bertraweh
berapa malamkah ku terlupa akan Al-Quran
berapa juzuk belum terbaca

Aku mula diam. Nak ku hitung tapi tidak. Patutkah aku menghitung :

Berapa harikah aku berteraweh
berapa kalikah aku baca Al-Quran
berapa juzuk dh aku habiskan

Kerja! itulah alasan kukuh yang cuba berselindung. Tuntutan kerja itu harus. Memang perlu aku laksanakan. Tuntuhan Tuhan itu Wajib. Diri sentiasa dilemma. Hati terus menekan nafsu.

Sejarah lampau terus berulang. Terdaya atau diperdaya? Demi Tuhan yang tidak pernah tidur, aku terus berusaha. Mengharap malam-malam mendatang di beri kekuatan dan dirahmati-Nya.
Amin.

Khamis, Julai 28, 2011

secawan kopi


Sudah lama aku tidak rasa nikmat menghirup kopi panas. Setiap kali menerjah mana-mana kedai, pasti tea 'o' ais yang di order. Mungkin sebab senang dan cepat. Senang untuk menyebut dan cepat disediakan. 

Tiba-tiba hari ini aku bernafsu untuk menghirup kopi. Lega rasanya tekak yang mengidam. Mengikut fakta, kopi biasanya diminum oleh mereka yang berumur 40 ke atas. Wah! tua ke aku? terus menjadi persoalan. Itu fakta di atas kertas ok! 

Lagi sedikit fakta! Kopi adalah minuman utama di seluruh dunia.  Mula di minum pada Abad ke-9 lagi. Pertama kali ditemui di tanah tinggi Etiopia. Sekarang, AS adalah pasaran kopi terbesar per kapita. 

Kalau kita perhatikan, di negara kita sudah berlambak-lambak kopi. Pelbagai jenis dan ramuan tambahan. Tongkat ali. Kacip Fatimah. Kopi jantan. Kopi janda. Kopi dara. Ada ke? Tak dikira lagi yang masukkan ramuan susu kambing, halia. 

Fenomena kopitiam juga sudah merasuk kita. Pelbagai jenama, konsep dan tawaran. Yang penting harga macam tukar tiub motor. Tapi penuh juga kan? Mungkin sebab selesa, ada wifi dan skrin besar. Sekali-sekala merasai nikmat kopi kampung di warung kopi memang dasyat. Berbekalkan 60sen (Kelantan) sudah memadai.

Dunia memang makin ke depan. Tapi tetap bermula dari belakang. Secawan kopi boleh mengenal erti sahabat. Percayalah!

mOhdbOb :: Nak try kopi janda sekali. . .heeee

 

Isnin, Julai 25, 2011

Ramadhan menjenguk


Kurang lebih dari seminggu lagi kita bakal berteman bulan Ramadhan. Bulan yang penuh mulia dari seribu bulan. Adakah kita bersedia? Bukan bersiap menahan lapar dan dahaga tapi bersedia fizikal dan mental. 

Tanggal-tanggal terakhir Syaaban ini biasanya kita ambil peluang untuk makan sepuas-puasnya. Bukannya nak berlatih berpuasa dan ikat perut. Waima dah 11 bulan lalu kita terus menikmati nafsu perut yang tak pernah puas. 

Terasa amat dangkal untuk berhujah mengenainya. Aku juga masih mencari kesempurnaan menjalaninya. Mengharapkan Ramadhan tahun ini lebih baik dari sebelum. Moga lebih dekat dengan Maha Pencipta yang Teragung. Maaf saya pesimis.



Akhir kalam, selamat menjalani ibadah puasa pada semua. Semoga bulan yang penuh Keberkatan ini memberi satu hidayah dalam mencari keredhaan-Nya. Amin.

mOhdbOb :: puasa di kampung sendiri memang terrrbek dr perantauan.


Khamis, Julai 14, 2011

Sajak 10 : Nokhtah Hidup



dunia kini makin gelap
alur putih bersinar tak kelihatan
hamparan hitam luas terbentang
mencari erti sebuah kehidupan
lenyapnya bersama bintang

aku berhenti menangis
ku rasakan diri terus hanyut
bagai hilangnya kunci hidup
umpama daun tanpa hijau
bunga hilang baunya
tubuh melangkah tak berkaki
ibarat ada dalam tiada
dicapai tapi tak terasa
digenggam terlepas jua

perjuangan masih di persimpangan
di sini bukan medan nyata
jauh belum berpenghujung
dunia kadangkala tak adil
mencari nokhtah hidup




Ahad, Julai 03, 2011

orang gila & kucing hitam


*"shooh..main jauh-jauh ore gilo! sebab mu pelangge aku ngepek" bentak akak tauke kedai berkurung biru lembut. 

Hati aku bertanya, hinakah seorang manusia bergelar 'orang gila'? Mereka juga manusia sama macam kita. Bukan pinta mereka jadi begitu. 

Sungguh mulianya hati akak tauke kalau menghulurkan sebungkus Nasi ayam yang digilai ramai itu. Tapi orang kata, "jangan selalu ajar memberi nanti si penerima akan datang untuk menerima lagi". Betul. Aku tak nafikan. Mereka akan datang lagi. Tapi rugikah akak kalau setiap hari menderma RM3.80? boleh lingkup ke kedai akak? 

Aku selalu meletakkan diri aku di situasi tersebut. Macamana kalau orang gila itu keluarga aku? ataupun aku sendiri? 'orang gila' pun punya hati dan perasaan. Setiap tangan ikhlas yang memberi akan dibalas melimpah ruah. Itulah sifir putaran hidup.

Aku teringat 4 hari lepas. Sedang asyik melantak nasi berlauk ayam kampung bersama teman-temanku. Datang seekor kucing hitam kelaparan. Belum pun sempat melangkah kaki kanan masuk ke kedai, sudah pun dihalau. Mulut makcik itu masih bersumpah seranah walaupun kucing hitam dah pun jauh berlari.

Aku rasa tak salah kalau aku umpamakan orang gila dengan kucing hitam. Tabiat kita memang sukar dihakis barangkali.

'orang gila' yang canggih
*sekadar hiasan

mOhdbOb :: aku memang takut kucing! huhu
*ngepek = berleter..(bahasa ibunda Kelantan)